Thursday, April 9, 2009

ketika dan kalimat (3)

PENGALAMAN DALAM KELAS AMALI

Apabila pertama kali masuk ke kelas amali pula, perasaan yang sama turut melanda hati saya. Saya berasa takut dan kurang yakin untuk menyiapkan tugas yang diberikan oleh Cik Aliaa. Pada hal tugas tersebut tidaklah begitu susah. Namun, setelah berjaya menyiapkan tugasan pertama saya berasa sangat gembira dan keyakinan untuk mendapat A dalam subjek ini semakin meningkat.

Sebelum terlambat saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cik Aliaa di atas tunjuk ajar beliau selama tiga belas minggu saya menuntut dengan beliau. Saya suka kelas amali beliau, kerana beliau sangat ramah dan tidak lokek dalam memberi tunjuk ajar. Terima kasih guruku kerana dengan tunjuk ajarmu, kini aku lebih mengenali dunia multimedia yang sememangnya amat penting untuk masa depanku.

Pada kelas amali yang pertama kami diminta menyiapkan persembahan powerpoint. Pada mulanya saya agak ragu-ragu. Saya bertanya mampukah saya menyiapkan tugasan tersebut. Tetapi apabila sudah memulakan tugasan tersebut, saya berasa seronok pula. Daripada tahu serba sedikit mengenai powerpoint, kini banyak yang telah saya pelajari mengenai microsoft powerpoint sepanjang tiga belas minggu saya mengambil kursus multimedia ini. Dalam tugasan yang pertama, saya telah memilih tajuk berkaitan bidang pertanian dan hasilnya. Saya rasa itulah tajuk yang terbaik pada masa itu kerana Universiti Putra Malaysia ini, pada dahulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia.

Tugasan kedua pula, saya harus menghasilkan kalendar 2009 dengan menggunakan adobe photoshop. Sebenarnya tugas menghasilkan kalendar ini merupakan tugas yang paling berat bagi saya. Begitu rumit sebenarnya untuk menghasilkan kalendar ini. Bukan senang untuk memastikan keenam-enam unsur multimedia diatur dengan sempurna dalam kalendar tersebut. Saya sering mengalami masalah untuk menentukan warna agar tulisan jelas kelihatan tidak mengalami kesukaran untuk dibaca. Maknanya di sni, warna latar belakang dan warna teks haruslah sesuai.

Setelah tiga minggu saya memupuk kesabaran dalam menyiapkan kalendar, akhirnya saya berjaya juga menghasilkannya. Walaupun, tidaklah secantik seperti mana yang dihasilkan oleh rakan yang arif dalam bidang itu, namun saya berbangga dengan hasil kerja saya. Untuk pengetahuan semua, saya memang seorang yang buta seni. Saya hanya mengambil seni semasa di sekolah rendah sahaja. Tidak lagi mengambil pendidikan seni apabila memasuki sekolah menengah. Jadi, saya mengaku memang saya tidak mahir dalam seni lukisan, namun ingin saya ingatkan di sini, seni bukan sekadar lukisan tetapi sastera juga merupakan salah satu daripada bidang seni.

Walaupun, tidak mempunyai bakat dalam bidang seni lukis atau seni ukir, saya mempunyai bakat dalam penghasilan karya kreatif. Minat saya menulis karya kreatif ini telah berputik sejak saya di bangku sekolah lagi. Saya sering menghasilkan sajak-sajak dan menunjukkannya kepada rakan-rakan untuk diberi komen. Seorang yang berjiwa seni ini sebenarnya jiwanya sangat halus dan mudah tersinggung. Tetapi sekarang, saya tidak lagi berkesempatan menghasilkan puisi kerana tiada masa yang senggang.

Tugasan seterusnya yang harus saya bereskan ialah mereka bentuk laman web. Jujur saya katakan saya banyak belajar daripada Kak Long saya untuk mereka bentuk laman web tersebut. Tetapi bagi saya untuk menyiapkan laman web tidaklah sepayah saya menghasilkan kalendar. Saya berasa begitu seronok menyiapkan laman web tersebut kerana saya rasa itulah hasil kerja saya yang terbaik sepanjang saya mengambil kursus multimedia ini.

Dan kini saya dalam proses menjalani tugas yang terakhir, iaitu tugas menghasilkan blog. Kerjanya tidaklah susah, hanya perlu mencari tokoh dan bergambar dengan tokoh tersebut. Kemudian ceritakan mengenai tokoh tersebut dan pos sahaja ke dalam blog. Dalam menyiapkan tugasan ini saya telah memilih Dr. Vijaya sebagai tokoh. Beliau memberi kerjasama di luar jangkaan saya. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Vijaya di atas kerjasama dan keperihatinan yang telah beliau berikan.

Sebenarnya, sebelum memilih Dr. Vijaya saya telah cuba untuk memilih tokoh yang lain. Tetapi, mereka tidak berapa minat untuk memberikan kerjasama lantas saya cuba untuk mencari Dr. Vijaya dan meminta kebenaran untuk memilih beliau sebagai tokoh untuk diletakkan dalam blog saya. Setelah diberitahu tujuan kedatangan saya, akhirnya beliau besetuju untuk memberikan kerjasama.

Apa yang mengharukan hati saya di sini ialah semasa kedatangan saya ke bilik beliau, beliau sedang sibuk untuk bergegas ke bilik kuliah kerana pada waktu itu beliau harus memberi kuliah pengantar terjemahan kepada pelajarnya. Namun, yang betul-betul mengharukan saya beliau sanggup meluangkan masa untuk saya bergambar dengan beliau. Di sini juga, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr. Vijayaletchumy di atas kerjasama yang telah diberikan. Semoga Tuhan memurahkan rezeki Dr..

Dan saya rasa inilah tugasan yang terakhir yang harus saya siapkan, iaitu menghasilkan "ketika dan kalimat" sebanyak sepuluh muka surat, tulisan [bookman old stlye] bersaiz 12 dan langkau satu baris. Sebenarnya saya cuba memerah otak untuk mengingati semula apa yang telah berlaku sepanjang tiga belas minggu saya belajar kursus ini. Namun, saya berasa ragu-ragu. Mampukah saya menyiapkan sehingga sepuluh muka surat.

Jika, menulis cerpen mungkin saya mampu mencapai sehingga lima belas muka surat untuk satu-satu tajuk. Sebab itu hanya memerlukan daya imaginasi. Tetapi ketika dan kalimat ini merupakan sesuatu yang fakta. Maknanya apa yang berlaku di dalam kelas sepanjang tiga belas minggu, saya harus melakarkannya di sini. Adakalanya terasa letih juga jari-jemari ini mengetuk papan kekunci. Namun, apalah daya tanggungjawab tetap tanggungjawab. Tugasan ini harus disiapkan juga.

Rasanya semua yang berlaku sepanjang tiga belas minggu tersebut telah saya coretkan di sini. Tapi masih terdapat beberapa cerita atau catitan lagi yang ingin saya kongsikan di sini. Tapi perlukah saya ceritakan? Argh...demi kebaikan, semoga apa yang akan dipaparkan sebentar lagi akan menjadi ikhtibar dan pengajaran kepada semua khalayak tidak terkecuali diri saya sendiri.

No comments:

Post a Comment