SEDIKIT KISAH PENGAJARAN
Sebenarnya, kelas multimedia ini bukan sahaja mengajar saya mengenai multimedia. Malah lebih daripada itu. Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya sepanjang mengambil kursus ini. Perkara yang akan saya kongsikan di sini ialah berkenaan kunjungan saya dan ahli kumpulan ke Rumah Titian Kasih yang terletak di Titiwangsa. Pada mulanya saya agak keberatan untuk ke sana.
Namun, setelah sampai di sana banyak pengajaran yang saya peroleh. Walaupun tempat itu hanyalah sebuah rumah yang menempatkan anak-anak yang kehilangan ibu bapa. Namun, di sebalik itu terselit kisah suka duka penghuni di situ. Saya tidak akan pernah mengetahui apa lagi merasa perasaan seperti kanak-kanak tersebut kerana nasib saya jauh lebih bertuah dariapda nasib mereka. Hingga detik ini saya masih mempunyai ibu bapa yang tidak pernah mengabaikan tanggung jawab terhadap saya.
Saya tidak pernah kekurangan kasih sayang daripada kedua orang tua saya. Aku bersyukur ya Rabbi. Tapi sedetik terkenang anak-anak di Rumah titian kasih, hati saya menjadi sebak, sayu, pedih, luluh. Hanya kau yang Maha Mengetahui ya Tuhan. Mengenangkan nasib mereka saya terlalu sedih. Mereka terlalu naif. Mereka yang asalnya datang dari pelbagai negeri, akhirnya bertemu di Rumah Titian Kasih dan telah bersaudara sesama mereka.
Sekali pandang kita tidak akan perasaan bahawasanya di hati mereka terselit seribu rasa sedih, rasa pilu. Perasaan untuk disayangi meluap-luap. Perasaan agar ada insan yang sudi hadir dan membelai-belai tubuh yang ketandusan kasih ibu dan ayah itu sentiasa berbunga di hati mereka. Hati saya begitu tersentuh sejenak terpandang tempat tidur mereka. Hanya beralaskan tilam yang nipis mereka terpaksa berkongsi untuk tidur. Bayangkan betapa selesanya tidur kita di atas tilam yang empuk, sedangkan ada insan yang terpaksa berkongsi tilam yang nipis untuk tidur. Nyenyakkah tidur anak-anak itu?
Melihatkan pakaian mereka yang comot, hati saya menjadi sayu. Saya cuba membayangkan diri saya dalam keadaan yang sama. Hampir menitis air mata saya. Syukur ya Tuhan aku masih mampu berpakaian cantik untuk ke kuliah. Tapi, anak-anak itu? Sesungguhnya, pengalaman di Rumah Titian Kasih itu telah membuka pintu hati saya untuk melawat mereka suatu hari nanti andai di izinkan Tuhan.
Masih terngiang di teliga saya suara Adik Lokman yang mengadu kepada saya tangannya gatal di gigit nyamuk. Sekali pandang apa la sangat, hanya gigitan nyamuk. Tetapi jika kita cuba mendalami isi hatinya, jauh di lubuk hati Adik Lokman mahukan perhatian daripada saya. Saya faham. Saya cuba memberi perhatian kepadanya sedaya yang mampu. Sejenak kemudian, saya lihat ada riak ceria di wajahnya. Ini buatmu Lokman,
Inilah saat terakhirku melihat kamu
Jatuh air mataku menangis pilu
Hanya mampu ucapkan
Semoga kau tabah selalu
Walaupun itu baru kali pertama saya bersua dengan anak-anak yatim di situ, tetapi saya merasakan seperti telah lama mengenali mereka. Hal ini kerana mereka sangat mudah mesra dengan kami. Jika berpeluang saya ingin sekali bertemu dengan mereka dan cuba menggembirakan mereka sekali lagi. Terima kasih Dr. Normaliza kerana tugasan yang Dr. berikan ini menjadikan saya lebih peka terhadap perasaan orang lain.
Satu lagi kisah yang mungkin mampu menyayat hati sesiapa yang mendengarnya. Kisah ini juga ada kaitannya dengan seorang penghuni Rumah Titian Kasih. Seorang kanak-kanak comel yang dikenali sebagai Aboy. Sekilas pandang kita tidak akan perasan penderitaan yang ditanggung oleh anak itu. Aboy menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan lagi.
Semasa berusia sepuluh hari, ibu Aboy telah menyerahkan Aboy kepada pihak pengurusan Rumah Titian Kasih. Sehingga kini, usia Aboy telah mencecah hampir tiga tahun, ibu yang melahirkannya masih belum muncul. Bayangkan betapa deritanya perasaan anak itu. Sudahlah menghidap penyakit berbahaya, ibu pula hilang entah ke mana. Kesian kau Dik. Semoga kau terus bertahan dan doaku semoga ada sinar yang terang akan menyuluh kegelapanmu suatu hari nanti.
tertutup sudah pintu, pintu hatiku
yang pernah dibuka waktu, hanya untukmu
kini kau pergi dari hidupku
ku harus relakanmu walau aku tak mau
berjuta warna pelangi di dalam hati
sejenak luluh bergeming menjauh pergi
tak ada lagi cahaya suci
semua nada beranjak, aku terdiam sepi
dengarlah matahariku suara tangisanku
ku bersedih kerana panah cinta menusuk
jantungku
ucapkan matahariku puisi tentang hidupku
tentangku yang tak mampu melakukan waktu
Tidak mustahil jika mesej yang tersirat di dalam bait-bait puisi tersebut merupakan luahan rasa Aboy terhadap ibunya. Mungkinkah "matahari" Aboy akan menyinar suatu hari nanti? Sama-samalah kita berdoa untuk kesejahteraan Aboy. Mudah-mudahan Allah akan memberkati kamu. Amin....
Berbalik kepada pengalaman saya semasa belajar kursus multimedia, tidak dapat dinafikan bahawa Dr. Normaliza merupakan seorang pensyarah yang amat mementingkan disiplin. Sedikit sebanyak dapat mendisiplinkan kami semua. Apa yang penting di sini ialah persepsi saya terhadap kursus ini telah berubah setelah beberapa kali menghadiri kuliah. Daripada kabur tentang pengetahuan multimedia, semakin hari semakin jelas.
Daun selasih dipetik Kuza,
Daun dedap di dalam hutan,
Terima kasih Dr. Normaliza,
Budimu tetap menjadi ingatan.
Saya berharap apa-apa sahaja ilmu yang saya peroleh daripada kelas multimedia ini akan menjadi bekalan kepada saya untuk menempuh alam pekerjaan kelak. Bukan sahaja dari segi intelektual malah dari segi spritual juga. Semoga apa yang telah tercatit dalam coretan ini akan menjadi pengajaran kepada khalayak.
Akhir sekali saya akan tinggalkan anda dengan satu persoalan. Sama-samalah kita fikirkan.
e-sastera
15 years ago
No comments:
Post a Comment